Sunday 21 August 2016


 PENGENALAN


  Perang Dunia Kedua bermula di Eropah apabila tentera Nazi Jerman menyerang Poland pada bulan September 1939. Seterusnya, Jerman berjaya menakluki Belanda dan Perancis menjelang pertengahan tahun 1940. Perang Dunia Kedua ini melibatkan dua negara Eropah, iaitu Jerman dan Itali yang disebut sebagai Kuasa Paksi serta Kuasa Berikat, iaitu Britain dan Pernacis. Kemudian, Amerika Syarikat dan Rusia menyertai peperangan ini dengan menyebelahi pihak Berikat. Peperangan ini telah menyebabkan kuasa-kuasa Barat menumpukan perhatian di Eropah dan membiarkan tanah jajahan di Asia terdedah kepada serangan tentera Jepun.

    Jepun menyerang Tanah Melayu melalui jalan laut dan mendarat di pantai Padang Pak Amat, Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Kehadiran tentera Jepun yang ramai memaksa British untuk berundur. Tentera Jepun bergerak menawan lapangan terbang Kota Bharu. Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu berpecah kepada dua bahagian. Sebahagian tentera Jepun bergerak ke Pantai Timur menuju Kuantan dan sebahagian lagi ke selatan menuju Sungai Perak. Pada masa yang sama, Jepun menyerang Singapura melalui udara. Tentera Jepun juga mendarat di Pattani dan Singgora di Thailand dan bergerak ke bahagian barat Tanah Melayu melalui jalan darat. Pihak Jepun telah berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Petani dan Alor Setar pada 9 Disember 1941.


     Pertahanan laut British menjadi lemah, terutamanya apabila kapal tentera laut British, iaitu HMS Prince Of Wales dan HMS Repulse bertugas untuk mengawasi Pantai Timur Tanah Melayu dibom oleh tentera Jepun pada 10 Disember 1941. Pengeboman kapal tentera British membolehkan lebih ramai tentera Jepun tiba di Tanah Melayu. Pada 11 Disember 1941, Jepun mengebom Pulau Pinang seterusnya menguasai Jitra dan Alor Star pada 12 Disember 1941. Tentera British pula terpaksa berundur ke selatan. Pada pertengahan Februari 1942, Jepun telah berjaya menguasai seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura.
Kapal laut tentera British HMS Prince of Wales



      Di Sarawak, Jepun menawan Miri pada 16 Disember 1941 dan Kuching pada 24 Disember 1941. Tentera Jepun mula menawan beberapa bandar utama di Sabah seperti Labuan, Beaufort, Jeselton dan Sandakan pada Januari 1942. Seluruh negeri Sabah dikuasai tentera Jepun pada awal Mei 1942.

Laluan tentera Jepun ke Tanah Melayu



1 comment: