Wednesday 31 August 2016

PENGENALAN



DAT 1A ( DIPLOMA ACCOUNTANCY)
1) ROSINI SAI A/P MOHANA RAO { 16DAT16F1042 }
2) MONEETHAA A/P MUNIANDY { 16DAT16F1030 }
3) HEMAMALINI A/P PARTHEAPAN { 16DAT16F1001 }
4) ABIRAMI A/P SALVARAJU { 16DAT16F1045 }
5) PRAVINA A/P GOBAL { 16DAT16F1129 }

 Silakan tonton sebuah video secara ringkas tentang penjajahan Jepun sebelum meihat dengan lebih detail tentang penerangan penjajahan jepun di bawah :


Sunday 21 August 2016


 PENGENALAN


  Perang Dunia Kedua bermula di Eropah apabila tentera Nazi Jerman menyerang Poland pada bulan September 1939. Seterusnya, Jerman berjaya menakluki Belanda dan Perancis menjelang pertengahan tahun 1940. Perang Dunia Kedua ini melibatkan dua negara Eropah, iaitu Jerman dan Itali yang disebut sebagai Kuasa Paksi serta Kuasa Berikat, iaitu Britain dan Pernacis. Kemudian, Amerika Syarikat dan Rusia menyertai peperangan ini dengan menyebelahi pihak Berikat. Peperangan ini telah menyebabkan kuasa-kuasa Barat menumpukan perhatian di Eropah dan membiarkan tanah jajahan di Asia terdedah kepada serangan tentera Jepun.

    Jepun menyerang Tanah Melayu melalui jalan laut dan mendarat di pantai Padang Pak Amat, Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Kehadiran tentera Jepun yang ramai memaksa British untuk berundur. Tentera Jepun bergerak menawan lapangan terbang Kota Bharu. Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu berpecah kepada dua bahagian. Sebahagian tentera Jepun bergerak ke Pantai Timur menuju Kuantan dan sebahagian lagi ke selatan menuju Sungai Perak. Pada masa yang sama, Jepun menyerang Singapura melalui udara. Tentera Jepun juga mendarat di Pattani dan Singgora di Thailand dan bergerak ke bahagian barat Tanah Melayu melalui jalan darat. Pihak Jepun telah berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Petani dan Alor Setar pada 9 Disember 1941.


     Pertahanan laut British menjadi lemah, terutamanya apabila kapal tentera laut British, iaitu HMS Prince Of Wales dan HMS Repulse bertugas untuk mengawasi Pantai Timur Tanah Melayu dibom oleh tentera Jepun pada 10 Disember 1941. Pengeboman kapal tentera British membolehkan lebih ramai tentera Jepun tiba di Tanah Melayu. Pada 11 Disember 1941, Jepun mengebom Pulau Pinang seterusnya menguasai Jitra dan Alor Star pada 12 Disember 1941. Tentera British pula terpaksa berundur ke selatan. Pada pertengahan Februari 1942, Jepun telah berjaya menguasai seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura.
Kapal laut tentera British HMS Prince of Wales



      Di Sarawak, Jepun menawan Miri pada 16 Disember 1941 dan Kuching pada 24 Disember 1941. Tentera Jepun mula menawan beberapa bandar utama di Sabah seperti Labuan, Beaufort, Jeselton dan Sandakan pada Januari 1942. Seluruh negeri Sabah dikuasai tentera Jepun pada awal Mei 1942.

Laluan tentera Jepun ke Tanah Melayu



FAKTOR KEJAYAAN JEPUN



Faktor yang mendorong kejayaan Jepun menawan Tanah Melayu seperti yang berikut:

  (a) Persediaan perang yang rapi dan teratur oleh Jepun iaitu mereka mengkaji kedudukan pertahanan        tentera British di Tanah Melayu.

  (b) Kelengkapan perang yang canggih di samping semangat juang tinggi untuk Maharaja Jepun.


 (c) Strategi peperangan yang sesuai seperti menggunakan basikal memudahkan pergerakan.




  (d) Pakatan kerjasama dengan Siam bahawa Siam tidak akan diserang memudahkan Jepun mendarat         di Thailand dan memasuki Tanah Melayu.

  (e) British menyangka Jepun akan membuat serangan di Singapura sebagai pusat pertahanan utama 

(f) Jepun menggunakan pelbagai slogan untuk menarik perhatian dan sokongan penduduk Asia
       Tenggara seperti "Asia Untuk Asia".

Sunday, 14 August 2016


KESAN PENDUDUKAN JEPUN


DASAR DISKRIMINASI KAUM

  • Jepun memberikan layanan baik kepada orang Melayu sebagai usaha menarik sokongan Raja- Raja Melayu.
  • Pemerintah Jepun memberikan peluang kepada pemimpin Melayu untuk memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran Jepun.
  • Jepun mengamalkan dasar anti-Cina kesan Peperangan China-Jepun pada tahun 1937 atas sebab sikap orang Cina di Tanah Melayu pada waktu itu yang masih memberikan taat setia kepada negara China.
  • Orang India menerima layanan baik daripada Jepun kerana kerjasama oramg India diperlukan untuk mengusir British di India.
  • Dasar diskriminasi menimbulkan kebencian dan syak wasangka orang Cina terhadap orang Melayu.

SOSIAL

  • Jepun mengamalkan dasar penjajaran budaya dan memaksa penduduk tempatan mempelajari bahasa Jepun. Bahasa Jepun dijadikan bahasa perantaraan bagi menggantikan bahasa Inggeris.
  • Penduduk tempatan hidup dalam ketakutan dan menderita. Perasaan curiga antara satu kaum yang lain timbul akibat dasar diskriminasi Jepun.
  • Pemuda yang ditangkap oleh tentera Jepun dijadikan sebagai buruh paksa untuk membina landasan kereta api merentasi hutan yang menghubungkan Siam dengan Burma. Ramai yang mati akibat penyakit dan kebuluran.
  • Negara mengalami masalah kekurangan beras disebabkan sistem perdagangan antarabangsa yang bermasalah. Kekurangan beras menyebabkan penduduk tempatan bergantung kepada ubi kayu sebagai sumber makanan utama.
  • Taraf kesihatan penduduk tempatan merosot dengan teruk akibat kekurangan zat makanan dan bekalan perubatan. Keadaan bertambah teruk apabila tentera Jepun merampas makanan dan ubat-ubatan untuk kegunaan mereka sendiri.
  • Akibat keganasan kempeitai (polis jepun), ramai penduduk terutamanya orang Cina melarikan diri ke pinggir hutan.

EKONOMI

  • Pemerintah Jepun mengambil alih semua kegiatan ekonomi yang dahulunya dikuasai pengusaha Eropah dan orang Cina.
  • Penduduk menderita kerana bekalan makanan yang tidak mencukupi dan harga barangan keperluan malambung tinggi.
  • Barangan utama seperti beras dikenakan kawalan yang ketat melalui permit khas.
  • Perusahaan bijih timah dan getah merosot dan hampir terhenti disebabkan kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di lombong,ladang dan kilang.
  • Nilai mata wang jatuh teruk. Mata wang ' daun pisang' diperkenalkan dengan banyak menyebabkan berlaku inflasi kerana pada masa yang sama berlaku kekurangan barangan pasaran.
    Nilai mata wang ' daun pisang'
  • Kegiatan ekonomi sara diri digalakkan dengan menanam bahan makanan sendiri seperti ubi kayu dan keledek bagi menggantikan beras.
    Ubi kayu

    Keledek

POLITIK

  • Kemerosotan ekonomi da kekejaman Jepun menimbulkan kesedaran kepada penduduk untuk tidak dijajah dan mencapai kemerdekaan.
  • Orang Melayu yang mendapat peluang dan pengalaman dalam bidang pentadbiran yakin bahawa mereka mentadbir negara sendiri.
  • Penduduk tempatan sedar dengan kelemahan kuasa pihak British apabila dikalahkan oleh orang Asia. 
  • Pendudukan Jepun telah menaikkan semangat nasionalisme penduduk Tanah Melayu. Pasukan Force 136 yang ditubuhkan oleh tentera Berikat mendapat sokongan penduduk tempatan Force 136 mendapat kerjasama Pegawai Daerah Hulu Perak, Kapten Mohd Salleh Sulaiman di Perak dan menamakan pasukan gerila sebagai Askar Melayu Setia (AMS). Di Pahang pula, Persatuan Melayu Pahang memberikan bantuan kepada Force 136 dan membentuk pasukan sulit yang dinamakan Wataniah.
  • Kaum Cina pula menyertai Parti Komunis Malaya (PKM). PKM menubuhkanMalayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai "Bintang Tiga" yang dianggap sebagai gerakan yang mewakili semua kaum ( melambangkan tiga kaum utama).
    Tentera PKM
  • Hubungan antara Tentera Berikat melalui Force 136 membolehkan MPAJA mendapat latihan ketenteraan, bekalan makanan, senjata dan ubat-ubatan bagi menentang tentera Jepun.

PENTADBIRAN JEPUN DI TANAH MELAYU

  • Jepun memerintah Tanah Melayu bercirikan sistem ketenteraan dengan matlamat utamanya:
(1) Memulihkan keadaan awam
    - Jepun ingin memulihkan keadaan masyarakat tempatan yang didakwanya sebelum ini huru-hara  atau tidak aman ekoran penentangan terhadap pemerintah Barat. Mereka ingin mewujudkan pemerintahan ' Asia untuk Orang Asia'.

(2) Memonopoli sumber ekonomi di Tanah Melayu
     - Jepun ingin menggunakan hasil ekonomi untuk membantu masalah ekonomi yang sedang melanda Jepun pada waktu itu dan menanggung pembiayaan tentera-tenteranya di Tanah Melayu
dan jajahan yang lain. Pembiayaan adalah dalam bentuk senjata, makanan dan kemudahan  ketenteraan.

  • Antara corak pentadbiran ketenteraan Jepun di Tanah Melayu adalah seperti yang berikut:
(1) Pentadbiran Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malai Baru diketuai oleh seorang Presiden  Jepun atau Gunseikan yang bertanggungjawab kepada Ketua Agung Tentera ( Pengarah Agung ), kawasan ketujuh di Singapura.

(2) Setiap negeri pula diketuai oleh seorang Gabenor Jepun atau Syuchokan yang dibantu oleh  Majlis Wilayah ( Penasihat ) yang bertujuan menggantikan Majlis Mesyuarat Negeri. Sebilangan
kecil orang Melayu turut mengganggotai majlis ini, manakala sebilangan besar dianggotai oleh tentera Jepun sendiri.

(3) Singapura yang dikenali sebagai Syonan ditadbir bersama dengan Malai Baru danSumatera.

(4) Negeri-negeri Melayu Utara yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah diserahkan kepada negara Thai pada bulan Ogos 1943.

STRUKTUR PENTABDIRAN JEPUN DI TANAH MELAYU


SELEPAS PENDUDUKAN JEPUN

  • Tentera Jepun berundur dari Tanah Melayu pada 15 Ogos 1945 apabila kalah di tangan Kuasa Berikat dan akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika Syarikat.
  • Apabila Jepun menyerah kalah, British mengambil masa 14 hari sebelum kembali semula ke Tanah Melayu. Dalam tempoh 14 hari ini, Parti Komunis Malaya ( PKM ) melalui Bintang Tiga cuba menguasai Tanah Melayu dan mencetuskan huru-hara. Kebanyakan ahli Bintang Tiga yang mengembangkan ideologi komunis ialah kaum Cina. Hal ini telah mencetuskan insiden pertempuran kaum dan penyeksaan terhadap orang Melayu sebagai membalas dendam akibat layanan baik yang diterima oleh mereka semasa pendudukan Jepun.
  • Pada bulan September 1942, British telah kembali semula ke Tanah Melayu dan berusaha mengawal keadaan dengan memerangi kumpulan berideologi komunis. British telah mengisytiharkan Darurat, Rancangan Briggs dan Rancangan Templer untuk memulihkan semula keadaan.
  • Darurat berlaku di Tanah Melayu, iaitu antara tahun 1948-1960 yang dimulakan oleh PKM. Anggota PKM cuba mengambil alih kuasa di Tanah Melayu secara kekerasan. Anggota PKM (pengganas komunis) telah membunuh anggota tentera, polis dan orang ramai dalam perjuangan mereka. Pengganas komunis ini juga telah merosakkan ladang getah, peralatan dan jentera perlombongan serta membakar kenderaan awam. Di bawah Udang-undang Darurat, kerajaan berkuasa mengharamkan parti-parti radikal, menangkap tanpa bicara, membuang negeri dan membunuh sesiapa yang terlibat dengan kegiatan komunis. Kira-kira 7000 orang Cina yang disyaki berfahaman komunis telah dihantar pulang ke negara China di bawah Undang-undang Darurat, 1948.
  • Semasa darurat, kerajaan membelanjakan hampir $300,000 sehari untuk menentang pengganas komunis. Bilangan anggota tentera dan polis juga perlu ditambah di samping penubuhan Pasukan Polis Khas bagi mengawal ladang getah dan lombong bijih timah.
  • Sir Gerald Templer telah memperkenalkan sistem pembahagian wilayah kepada kawasan hitam dan kawasan putih. Kawasan hitam ialah kawasan yang didapati giat dengan aktiviti komunis dan perlu diberi kawalan ketat oleh pihak pertahanan, manakala kawasan putih ialah kawasan yang selamat atau bebas daripada pengaruh komunis.
  • Perbuatan Khianat Pengganas Komunis Mengeluarkan Keretapi dari Landasannya semasa Darurat


    • Kerajaan British juga memperkenalkan sistem kad pengenalan di mana rakyat yang berumur 12 tahun ke atas diwajibkan mendaftar dan memiliki dokumen pengenalan diri. Dokumen ini penting sebagai identiti warganegara yang membezakan mereka dengan pengganas.
    • Usaha yang diambil semasa darurat ialah pengenalan Rancangan Penempatan Semula. Rancangan ini bertujuan menyekat makanan supaya tidak mudah diperoleh anggota komunis yang sebelum ini mendapat bekalan dari kampung-kampung di pinggir hutan. Kerajaan berharap pengganas komunis akan kelaparan dan keluar dari hutan.
    • Rancangan Briggs telah diperkenalkan oleh seorang Jeneral British bernama Harold Briggs untuk menjayakan usaha ini. Beliau dilantik sebagai Pengarah Gerakan menentang komunis pada tahun 1950. Di bawah Rancangan Briggs, kampung-kampung di pinggir hutan ditempatkan semula di kawasan baharu dipanggil Kampung Baru yang mudah dikawal. Kampung Baru dipagarkan di sekelilingnya dan disediakan kemudahan seperti sekolah dan pusat kesihatan.
    • Selain itu, untuk memastikan usaha penghapusan komunis ini lebih berkesan, kerajaan British telah melantik Gerald Templer sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang baharu kerana beliau dianggap lebih berkebolehan. Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan British telah berjaya melemahkan PKM. 
    • Akhirnya, darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960.

Saturday 20 August 2016

Artikel

Tentera Jepun kena 'dera'





TENTERA Jepun memang kejam. Mereka memancung kepala, menyuruh minum air sabun, menikam dengan bayonet, mengerah menjadi buruh paksa dan membakar hidup-hidup sesuka hati.
Itu sudah biasa kita dengar kala berbicara tentang keganasan tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu lebih enam dekad lalu. Sehinggakan frasa 'penampar Jepun' pun masih melekat hingga hari ini.
Namun, sekejam-kejam tentera Jepun, ada juga dalam kalangan mereka yang pengsan apabila giliran mereka pula 'didera'.
Cerita sejarahwan, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, apabila Jepun mengaku kalah dan tentera British kembali ke Tanah Melayu, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa membersihkan kawasan bandar dan ada juga yang dihukum berlari.
Di Teluk Intan, Perak misalnya, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa oleh tentera British untuk mengutip sampah di bandar itu dan diarah berlari sejauh 42 kilometer dari Teluk Intan ke Bidor.
"Masa itu umur saya lapan tahun. Tentera Jepun sudah mengaku kalah dan akan berundur.
"Sementara menunggu detik untuk dibawa pulang ke tanah air mereka, tentera British telah 'mengenakan' mereka.
"Saya nampak puluhan tentera Jepun dipaksa kutip sampah dan berlari begitu jauh. Sampai ada yang pengsan.
"Mereka yang pengsan kemudian dicampak ke dalam lori," kata Kay Kim, 73, kepada Jurnal saat diminta mengimbas peristiwa Jepun mengaku kalah pada 1945.
September ini, genap 65 tahun berakhirnya derita penduduk Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun dan tamatnya polemik militari global, Perang Dunia Kedua amnya.


UPACARA serah kuasa Jepun kepada British yang berlangsung di Victoria Institution, Kuala Lumpur 65 tahun lalu.


Kapal Amerika Syarikat, USS Missouri menjadi saksi usainya perang itu apabila Jepun memeterai dokumen mengaku kalah di atas kapal itu pada 2 September 1945.
Victoria Institution
Gugurnya bom atom yang meranapkan bandar Hiroshima dan Nagasaki beberapa minggu sebelum itu memberi tekanan kepada Negara Matahari Terbit itu dan mendorong kepada kekalahannya.
Di Tanah Melayu, Jepun mengaku kalah secara rasminya pada 12 September 1945 apabila dokumen serah diri Jepun ditandatangani di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Upacara yang sama turut berlangsung di Singapura.
Sambung Kay Kim, pada masa itu, penduduk Tanah Melayu kebanyakannya kanak-kanak berkumpul di jalanan untuk melihat tentera Jepun membersihkan bandar.
Tentera-tentera British pula yang kebanyakannya dari India mengagih-ngagihkan coklat dan gula-gula kepada kanak-kanak.
"Seluruh Tanah Melayu menyambut berita kekalahan Jepun dan kembalinya British dengan jiwa yang gembira.
"Ini kerana, selain menderita hidup dijajah Jepun, hakikat bahawa Jepun tidak melakukan apa-apa untuk kemajuan Tanah Melayu cukup mengecewakan.
BANDAR Hiroshima yang musnah dibom oleh tentera Amerika Syarikat pada 6 Ogos 1945.


"Ekonomi negara ini sangat teruk semasa Jepun menjajah sehingga harga barang terlampau mahal.
"Duit Jepun iaitu 'duit pisang' juga seperti tidak ada nilai kerana ia dicetak sesuka hati," katanya. Kay Kim dilahirkan di Kampar dan dibesarkan di Teluk Intan.
Bercerita tentang tentera Jepun, Kay Kim mengakui kekejaman mereka. Beliau dan keluarga bahkan pernah melarikan ke dalam hutan untuk menghindari tentera Jepun.
Beliau juga menyifatkan tentera Jepun kuat, menggunakan peralatan senjata setanding Barat, berstrategi rapi dan setia kepada maharaja.
Pedang
"Mereka mungkin kejam dan kasar kerana mereka tentera. Orang Jepun yang datang ke negara kita bukan orang awam.
"Mereka kasar dan ganas kerana mereka memang dilatih sebagai tentera.
"Mereka juga kuat. Kalau mereka tak kuat macam mana mereka boleh tenggelamkan dua kapal perang British, HMS Prince of Wales dan HMS Repulse? Mereka menakluk negara kita hanya dalam masa dua bulan.
"Apabila Jepun kalah dan maharaja Jepun arahkan mereka serah kalah, mereka mengaku kalah atau bunuh diri dengan melakukan harakiri iaitu menikam perut sendiri dengan pedang samurai mereka," kata Kay Kim.
Beliau turut menjelaskan penjajahan Jepun ke Asia Tenggara juga adalah berikutan tindakan Barat menyekat bekalan minyak ke Jepun yang telah bergelar negara industri sejak akhir abad ke-19 lagi.
Ditanya apakah impak yang dapat dilihatnya selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu, Kay Kim berkata:
"Dulu, bila saya hendak main bola sepak, padang-padang tiada pacat. Lepas Jepun datang, padang-padang sudah berpacat.
"Mungkin sebab banyak tanaman ubi kayu ditanam di padang-padang pada masa Jepun memerintah.
"Masa Jepun berkuasa, penduduk Tanah Melayu susah nak jumpa nasi, banyak makan ubi kayu sebab beras terlalu mahal," tambahnya.
Pelawak veteran berasal dari Klang, Selangor, Hamid Gurkha atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman turut berkongsi kisah peristiwa Jepun menyerah kalah itu.


BASIKAL yang digunakan oleh tentera Jepun.


Seingatnya, pada masa itu, penduduk Tanah Melayu sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Tak silap saya, ia berlaku beberapa hari selepas Aidilfitri. Penduduk Tanah Melayu menyambut berita gembira pengunduran Jepun dalam suasana kesyukuran merayakan Aidilfitri.
"Pada masa itu, tiba-tiba saya lihat tentera Jepun sudah lesap. Selalunya nampak mereka berkawal di jalan-jalan.
"Apabila tentera British kembali, mereka disambut oleh orang ramai dengan berkumpul di tepi-tepi kedai dan jalan.
"Saya lihat tentera British yang mendarat dari Pelabuhan Klang berjalan kaki di pekan Klang sambil disambut gembira penduduk tempatan pelbagai kaum," kata Hamid, 78.
Berdasarkan akhbar lama, suasana yang sama juga dapat dilihat di Seremban, Negeri Sembilan. Bahkan, satu sambutan yang disifatkan terbesar dalam sejarah negeri itu telah berlangsung bagi meraikan kekalahan Jepun dan mengalu-alukan kedatangan British.
Pengumuman
"Penduduk Tanah Melayu gembira kerana mereka membayangkan kehidupan yang lebih baik bersama British.
"Zaman Jepun, hendak makan pun susah. Belacan zaman British dulu, harga 5 sen sekati, zaman Jepun RM250 sekati!" dakwanya.
Berkongsi cerita tentang keperitan hidup semasa penjajahan Jepun yang pernah dilaluinya, Hamid berkata, sekolahnya telah dibom dalam serangan udara Jepun.
Beliau juga pernah ditempeleng oleh tentera Jepun gara-gara tidak tunduk hormat kepadanya.
"Kanak-kanak pun kena bagi tunduk hormat kalau jumpa tentera Jepun.
"Masa itu saya manalah tahu kena tunduk hormat kat dia. Kalau orang dewasa tak tunduk hormat, mereka kena hukum junjung batu tengah panas," ujarnya.
Jurnal turut menemui sepucuk surat lama pengumuman kekalahan Jepun kepada penduduk Tanah Melayu yang bertulisan jawi di Arkib Negara Malaysia yang antara lain menyatakan: Tentera-tentera Jepun di serata tempat telah mengaku kalah. Tenteranya telah dihapuskan oleh tentera British yang ke-14 di Burma. Tenteranya yang lain yang mempertahankan tanah airnya dari Ayujima dan Okinawa telah dikalahkan jua oleh tentera Amerika.
Sementara itu, Tan Sri Abdul Majid Ismail, 89, juga mempunyai kisah tersendiri berkenaan peristiwa pengunduran Jepun dan kedatangan British.
Beliaulah antara yang membuat pengumuman memberitahu British kembali di stesen radio Kuala Lumpur pada masa itu.
Sebagai individu berpendidikan yang boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, beliau diserap menjadi pegawai penerangan oleh Pentadbiran Militari British.
SURAT pengumuman kekalahan Jepun kepada penduduk Tanah Melayu.


Selain membuat pengumuman di radio, Abdul Majid juga pergi membuat pengumuman di kampung-kampung sekitar Kuala Lumpur sehingga Melaka.
Memandangkan cara hebahan maklumat pada zaman dahulu tidak secanggih sekarang, maklumat terpaksa disebarkan dengan cara begitu selain melalui surat.
"Saya buat pengumuman dari kampung ke kampung dengan menaiki jip. Selama tiga bulan diperlukan untuk melunaskan tugas itu.
"Dalam jip itu siap ada askar untuk keselamatan dan tukang masak! Saya membuat pengumuman termasuk tentang maklumat cari kerja kepada orang awam," katanya.
Saat diminta berkongsi apa yang dilaluinya semasa penjajahan Jepun, Abdul Majid yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur pantas berkata: "Saya tidak mahu mengingatinya."
Mungkin peristiwa Jepun yang mengebom dan menyerang kolejnya sehingga 14 rakan sekelasnya terkorban cukup berbekas dalam ingatannya.
Pada masa itu, beliau sedang menuntut di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Lebih menyedihkan apabila mayat-mayat yang sedang diuruskan jenazah mereka turut diserang dengan bom.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4LYzkfo00 
Hakcipta terpelihara 

RUJUKAN


RUJUKAN

- Normurni Mohamad , Razana Fatin Abdullah@Razali, Mohamad Faizal Ahmat 2016 Siri Politeknik Pengajian Malaysia , penerbit Oxford Fajar Sdn . Bhd



- Internet
      - https://www.youtube.com/
      - https://ms.wikipedia.org/wiki/Penjajahan_Jepun_di_Tanah_Melayu
      - http://penjajahanjepundkm1c.weebly.com/blog/penjajahan-jepun-di-tanah-melayu
      - http://www.slideshare.net/aishahali712/pendudukan-jepun-di-tanah-melayu-15580559
      - https://ms.wikipedia.org/wiki/Penyerahan_kalah_Jepun

Friday 19 August 2016

KESIMPULAN




  • Walaupun pendudukan kuasa asing merupakan suatu pengalaman pahit dalam sejarah negara, namun kesan pendudukan tersebut jugalah yang telah membuka ruang kepada negara dan rakyat ke arah pembentukan dan pengukuhan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial. Fenomena ini juga yang menjadikan tamadun Malaysia hari ini padat dengan gabungan, asimilasi dan sinkritisme berbagai-bagai budaya yang membentuk budaya Malaysia yang unggul.

Thursday 18 August 2016

Pengajaran

1.Peristiwa penjajahan di Tanah Melayu memperlihatkan perlunya rakyat pada waktu itu mempunyai ilmu yang tinggi, terbuka minda, taat setia, bersatu padu dan patuh kepada undang-undang negara.

2.Ilmu penting untuk mengangkat martabat sesuatu bangsa.


3.Sesebuah negara atau bangsa itu perlu mempertahankan identiti sendiri, walaupun masa dan persekitaran sentiasa berubah.


4.Sesuatu bangsa itu perlu mempunyai ilmu yang secukupnya agar minda mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakwah asing.


5.Rakyat yang tidak bersatu padu dan taat setia kepada negara akan menyebabkan negara itu dijajah.


6.Penjajahan memberikan banyak kesan negatif kepada sese
buah negara bangsa.